KUALA LUMPUR, 28 Ogos -Kerajaan MADANI komited memperkukuh integriti pentadbiran kewangan negara melalui Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 (RUU PK 2025) yang bakal memperundangkan hukuman lebih tegas terhadap kesalahan kontrak perolehan.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, RUU tersebut akan menjadikan setiap peraturan perolehan yang sebelum ini berbentuk pentadbiran, dinaik taraf kepada undang-undang dengan kuasa perundangan penuh.
"Kerajaan MADANI sentiasa menambah baik dan mengemaskini peraturan sedia ada bagi meningkatkan tahap-tahap urus baik dalam urusan perolehan kerajaan. Oleh itu, kerajaan komited dengan menguatkuasakan pelaksanaan perolehan secara tender terbuka bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam kontrak-kontrak kerajaan.
"Sejak mengambil alih pentadbiran, Kerajaan MADANI telah menghentikan amalan menganugerahkan projek biasa secara rundingan terus, seperti jalan sekolah dan hospital. Perkara ini adalah selaras peraturan Perolehan Kerajaan di bawah Perkeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan 2.1 Kaedah Perolehan Kerajaan," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Rushdan Rusmi di Dewan Rakyat.
Tambahnya, RUU PK 2025 memperuntukkan denda minimum tiga kali nilai kontrak atau RM1 juta (mana lebih tinggi), selain hukuman penjara sehingga lima tahun terhadap pihak yang melanggar undang-undang perolehan kerajaan.
RUU itu turut digubal selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi memastikan setiap perbelanjaan awam diurus secara telus, berakauntabiliti dan bebas daripada ketirisan.
Tegasnya, pelaksanaan undang-undang baharu itu bukan sahaja mengekang kerugian dana awam berbilion ringgit, malah memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan prinsip tadbir urus telus dan berintegriti.