SHAH ALAM, 27 Ogos - Sebarang perkara membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA) perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaannya menepati keperluan semasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan akta itu berupaya memberi nafas baharu kepada kawasan bandar lama yang semakin uzur.
“Akta ini berpotensi membuka ruang pembangunan semula secara lebih tersusun khususnya bagi kawasan bandar lama yang terbiar,” katanya.
Menurut Datuk Seri Amirudin, Selangor antara negeri yang berdepan cabaran kawasan usang termasuk di Ampang, Gombak dan Hulu Langat yang memerlukan pembangunan semula.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2025 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Minggu lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadualkan berlangsung hari ini di Dewan Rakyat.
Akta itu dijangka memberi hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, makmur dan inklusif.