KUALA LUMPUR, 26 Februari- Rang Undang Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) diluluskan selepas dibahas di Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan lembaga pengasas Majlis Media Malaysia akan dibentuk setelah RUU berkenaan berkuat kuasa.
"Setelah dikuatkuasakan nanti, kita jangka lembaga pengasas akan dibentuk dan Majlis Media Malaysia kita harap tahun ini, sekiranya sempat, menjelang pertengahan tahun ini kita akan dapat wujudkan.
"Prosesnya masih jauh dan ia hanya permulaan tetapi ini adalah kemenangan besar untuk kebebasan media di Malaysia", katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen.
Majlis Media Malaysia sebuah badan bagi mengawal selia dan menjaga kepentingan media serta langkah tepat untuk menjaga kebajikan wartawan termasuk kebebasan dan integriti media di negara ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada ahli parlimen yang menyuarakan pandangan serta cadangan bagi memastikan RUU ini diluluskan, sekali gus peranan media diiktiraf.
"Kita ambil maklum pandangan, saranan dan cadangan semua pihak. Saya cukup mengalu-alukan dari semua ahli parlimen yang terlibat dalam perbahasan dan juga undian tadi", katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Protem MMM, Premesh Chandran menyifatkan pembentukan Majlis Media Malaysia sebagai satu detik yang membanggakan dan berharap ia dapat menjadi suara perubahan, khususnya dalam aspek perundangan dan pembiayaan media.
"Kita berterima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Protem yang bekerja sangat lama, lebih kurang lima tahun tanpa gaji sehingga pembentukan akta ini. Kalau media pun kuat, kita harap suara rakyat pun akan bertambah kuat," katanya.
Protem turut mengalu-alukan pembentukan Majlis Media Malaysia sebagai langkah penting dalam memperkasakan kebebasan dan ketelusan media di negara ini.