fb fb fb fb fb

Rompak warga asing, empat rakan mengaku tidak bersalah

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Empat rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas lelaki warga Bangladesh, bulan lepas.

Tertuduh, M. Nanthini (26 tahun), S. Lawannia, (28 tahun), J. Thaneshh (23 tahun) dan M. Alagendran (40 tahun), didakwa merompak wang tunai RM400 dan sebuah telefon bimbit milik Ali Sayed di ATM RHB Bank di Brickfields pada pukul 9.31 malam, 12 Mei lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Nanthini, Thaneshh dan Alagendran, juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan merompak sekeping kad ATM Bank Hong Leong yang mendatangkan kerugian RM2,000 kepada seorang lagi lelaki warga Bangladesh, Nasimul Hasan Naim di Public Bank, Medan Hujan Rahmat, Brickfields di sini pada pukul 11.20 malam, 19 Mei lalu.

Mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai polis bagi tujuan merompak mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan akan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Lawannia dan rakannya, Nur Hikmah Abu Bakar, 20 tahun, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan bersubahat merompak mangsa sama iaitu Nasimul Hasan pada tempat, masa dan waktu serupa, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhidi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 15 Julai ini bagi tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM