fb fb fb fb fb

RMK13: KKR kemuka dua projek baharu di Kapar untuk pertimbangan

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan dua projek baharu di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk pertimbangan agensi pusat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek berkenaan bertujuan mengurangkan kesesakan serta meningkatkan aspek keselamatan pengguna.

"Kementerian ini telah mengemukakan permohonan bagi dua projek di bawah Rolling Plan 1 RMK13 untuk pertimbangan agensi pusat iaitu projek naik taraf Jalan Perindustrian Kapar Meru (FT3217) dari Persimpangan Jalan Haji Abdul Manan hingga Persimpangan Jalan Limau, Daerah Klang, Selangor serta cadangan projek pembinaan jejantas di hadapan SMK Tengku Idris Shah, Jalan Kapar (FT005), Daerah Klang, Selangor.

Bagaimanapun, kelulusan bagi cadangan projek tersebut akan dimaklumkan selepas pembentangan belanjawan, tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan," kata Datuk Seri Alexander di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar, Dr. Hajah Halimah Ali, berhubung langkah jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dalam menangani masalah jalan utama di kawasan Kapar.

Beliau turut menjelaskan kelulusan kedua-dua projek itu hanya akan dimaklumkan selepas pembentangan belanjawan, tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan.

Tambah beliau, cadangan tersebut turut menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang melalui projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM