RM20 juta naik taraf lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan

Menteri Kerja Raya menaiki motosikal ketika meninjau projek menaik taraf laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan/ Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 21 Mei – Peruntukan RM20 juta diluluskan bagi melaksanakan projek naik taraf lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan (FT002) menerusi Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

RINGKASAN BERITA AI
  • Menambah keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal melalui naik taraf lorong motosikal di FT002.
  • Skop kerja: baiki permukaan jalan, naik taraf sistem saliran, baik pulih terowong, penghadang, cantas pokok dan papan tanda.
  • Meliputi laluan dua hala 48 km di Klang dan Petaling; pembinaan tempat berteduh serta pemasangan lampu Solar LED, dijangka siap Ogos.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu bertujuan meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal yang menggunakan laluan berkenaan.

“Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi pelaksanaan projek ini yang kini sedang dilaksanakan oleh JKR Selangor,” katanya ketika meninjau Projek Naik Taraf Lorong Motosikal di Lebuhraya Persekutuan bersama JKR Malaysia di sini, hari ini.

Menurut beliau, projek itu melibatkan laluan dua hala sepanjang 48 kilometer meliputi kawasan Klang dan Petaling yang menjadi laluan utama penunggang motosikal setiap hari.

Skop kerja yang dilaksanakan termasuk membaik pulih permukaan jalan, menaik taraf sistem saliran, membaiki kawasan terowong, mengganti penghadang jalan serta kerja mencantas dan menebang pokok di laluan terlibat.

Selain itu, papan tanda amaran dan papan tanda destinasi turut ditambah baik bagi membantu pengguna jalan raya, di samping meningkatkan tahap keselamatan pengguna lorong motosikal berkenaan.

Projek tersebut turut melibatkan pembinaan tempat berteduh untuk penunggang motosikal serta pemasangan lampu jalan jenis Integrated Solar LED (ISLED), khususnya di kawasan gelap dan berisiko pada waktu malam.

Projek naik taraf itu telah bermula sejak tahun lalu dan dijangka siap pada Ogos tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.