Malaysia guna pendekatan negara berkecuali, aktif dalam pelaksanaan dasar luar

Pegawai Khas 1, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pejabat PM, Abdul Razak Sharif (dua dari kiri), Setiausaha Akhbar Kanan Pejabat PM, Tunku Nashrul Tunku Abaidah dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Agama dan Hubungan Strategik, Mohamad Raimi Ab Rahim/Foto UUM

SINTOK, 21 Mei – Dasar luar Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperlihatkan suatu transformasi signifikan apabila negara tidak lagi hanya berpegang kepada pendekatan sebuah negara berkecuali tetapi beralih kepada konsep negara berkecuali aktif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia tampil sebagai suara keadilan, keamanan dan kesejahteraan dalam isu kemanusiaan, ekonomi, perubahan iklim dan hak asasi.
  • Pendekatan membolehkan hubungan fleksibel dan pragmatik dengan Barat, China dan ASEAN demi kepentingan nasional, perdagangan, pelaburan serta teknologi.
  • Diplomasi MADANI menggunakan media strategik untuk membentuk persepsi global, mengimbangi propaganda dan memajukan nilai kemanusiaan.
  • Dasar berteraskan Al-Quran dan sunnah menekankan kesederhanaan, toleransi, tata kelola baik serta penghormatan terhadap kebebasan beragama.

Menurut Pegawai Khas 1, Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Pejabat Perdana Menteri, Abdul Razak Sharif, pendekatan ini bermaksud Malaysia memperkukuh prinsip tersebut dengan penglibatan lebih dinamik, responsif dan berani dalam arena hubungan antarabangsa selain kekal tidak terikat dengan kuasa besar atau blok geopolitik tertentu.

“Pada masa sama, Malaysia tidak lagi menjadi pemerhati tetapi tampil sebagai suara yang membawa naratif keadilan, keamanan dan kesejahteraan sejagat, khususnya dalam isu-isu seperti konflik kemanusiaan, ketidakseimbangan ekonomi global, perubahan iklim dan hak asasi manusia serta lain-lain isu antarabangsa.

“Anjakan ini turut memperlihatkan Malaysia lebih lantang di pentas antarabangsa dan memposisikan dirinya sebagai sebuah negara berprinsip, berdaulat dan berwibawa yang tidak mudah dipengaruhi oleh tekanan geopolitik.

“Namun tetap terbuka kepada kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada negara dan rakyatnya,” jelas beliau pada Program Dialog Mahasiswa: Memperkasa Literasi Dasar Luar Malaysia” anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Selain itu, pendekatan berkecuali aktif ini memberi ruang kepada Malaysia untuk menjalin hubungan lebih fleksibel dan pragmatik dengan pelbagai negara dan blok ekonomi.

Malaysia boleh memperkukuh kerjasama dengan negara-negara Barat dan memperluas hubungan dengan kuasa ekonomi Asia seperti China dan negara-negara dalam ASEAN berdasarkan kepentingan nasional selain membuka lebih banyak peluang dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi dan pembangunan mampan.

Program tersebut turut menampilkan Setiausaha Akhbar Kanan, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, YM Tunku Nashrul Tunku Abaidah yang mengupas tentang pendekatan Diplomasi MADANI dari sudut media.

“Dalam era geopolitik antarabangsa yang dipengaruhi media, persepsi awam dan perang naratif global, Malaysia bertindak strategik bagi mengekalkan dasar luar yang bebas, berprinsip dan pragmatik dengan menekankan nilai kemanusiaan, keamanan, kesejahteraan dan kerjasama antarabangsa.

Kestabilan hubungan diplomatik negara merupakan faktor utama dalam menarik keyakinan pelaburan luas khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

“Media menjadi alat penting dalam landskap diplomasi baharu dalam membentuk persepsi global dan mempengaruhi sentimen antarabangsa bagi mengimbangi penyebaran propaganda negatif dan persaingan naratif global. Dalam konteks Diplomasi MADANI, dasar luar dipraktik sebagai naratif rakyat dan bukan hanya naratif protokol.

Ini membolehkan hubungan Malaysia dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan negara kuasa ekonomi lainnya diterjemah kepada manfaat ekonomi, peluang pekerjaan, teknologi dan keyakinan pelabur,” jelas Tunku Nashrul.

Seorang lagi ahli panel, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Agama dan Hubungan Strategik, Mohamad Raimi Ab Rahim menjelaskan, amalan dasar luar MADANI berteraskan Al-Quran dan sunnah bagi mengangkat prinsip kesederhanaan, kestabilan, tata kelola baik dan berteraskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Islam itu sendiri bermaksud keamanan dan membawa rahmat ke seluruh alam apabila ia menolak sebarang bentuk ekstremisme dan menumpukan kepada nilai toleransi dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya dalam masyarakat antarabangsa.

“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Malaysia diiktiraf antara negara peneraju dalam mengangkat martabat Islam dan dalam konteks hubungan antarabangsa, pendekatan ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja berpegang teguh kepada prinsip Islam, tetapi juga mampu berinteraksi secara harmoni dengan negara-negara lain tanpa mengira latar belakang kepercayaan,” kata Mohamad Raimi.

Sebagai contoh, inisiatif mencetak dan mengagihkan sejuta naskhah Al-Quran kepada komuniti Islam di seluruh dunia bukan hanya satu usaha dakwah tetapi juga sebahagian daripada pelaksanaan Diplomasi MADANI yang berteraskan nilai ilmu, pencerahan dan perpaduan ummah.

Usaha ini memperlihatkan komitmen Malaysia dalam menyebarkan mesej keamanan dan kefahaman Islam yang sebenar, sekali gus memperkukuh hubungan dengan masyarakat Islam global.

Pendekatan ini turut menghantar isyarat jelas bahawa Malaysia menghormati kebebasan beragama dan sentiasa menggalakkan usaha membina persefahaman serta mengurangkan salah faham dalam hubungan antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.