fb fb fb fb fb

RM2 juta diperuntuk menerusi JEJAK, bantu koperasi dalam sektor pelancongan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick (kanan) bergambar pada Majlis Peluncuran Program Jom Jelajah Koperasi 2024 di Kampung Hulu Cuchoh/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi bantuan insentif Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) tahun ini melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai sokongan awal menggerakkan koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata insentif itu sebagai persediaan koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka menarik 26.1 juta pelancong.

"Mudah-mudahan dengan sokongan awal ini insentif ini dapat meningkatkan semangat dan motivasi koperasi bersiap untuk menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Sekiranya insentif ini diterima baik dan memberi pulangan besar kepada koperasi yang terlibat, maka kita akan teliti tahun seterusnya untuk menambahkan insentif khusus kepada sektor pelancongan", katanya.

Beliau berkata kepada media selepas Majlis Perasmian JEJAK di Pusat Aktiviti Homestay Banghuris, Kg Hulu Chuchoh.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi SKM Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal serta Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Tambahnya, ketika ini terdapat 215 koperasi terlibat dalam industri pelancongan mendapat manfaat dari insentif tersebut, agar mampu bersaing menyediakan perkhidmatan yang sama baik dengan penyedia lain.

Menerusi insentif JEJAK, sebanyak 160 koperasi yang menjalankan aktiviti perniagaan disasarkan akan terlibat.

Dalam pada itu, mana-mana koperasi juga boleh boleh memohon bantuan untuk mengembangkan operasi dan perkhidmatan melalui Bantuan Pembangunan SKM yang berjumlah RM6.75 juta dan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) berjumlah RM100 juta.

Sementara itu, siasatan berhubung dakwaan peminjam sebuah koperasi disenarai hitam oleh bank walaupun sudah melangsaikan hutang sedang dijalankan.

Beliau berkata aduan mengenai perkara itu telah diterima dan siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti punca serta asas perkara berkenaan timbul.

Semalam, dilaporkan Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (Kowamas) yang menawarkan pinjaman sehingga RM200,000 kepada kakitangan awam kini dibelenggu dakwaan peminjamnya disenarai hitam oleh bank walaupun sudah melangsaikan hutang.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Left Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata pihaknya telah berhubung dengan Kowamas dan mereka memberi kerjasama yang baik.

Ahmad Norihan berkata beliau dengan Pengerusi Eksekutif SKM Rusli Jaafar sedang meneliti punca dan permasalahan sebelum tindakan sewajarnya diambil.

 

ROSLINA BINTI DIN