PADANG BESAR, 27 Oktober- Lima insentif utama melalui Program Skim Getah Matang (SGM) disediakan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Ia adalah sebagai usaha bagi memastikan para pekebun kecil bawah RISDA dapat mengoptimumkan pengeluaran hasil getah.
Ahli Pihak Berkuasa RISDA, Ruzaini Rais berkata, bagi SGM peringkat satu, ia disediakan untuk memperkasakan pengurusan ladang menerusi penggunaan teknologi terkini.
"Setiap sorang daripada tahap satu sampai tahap lima, kita sediakan bantuan sebanyak RM7,800 dalam bentuk racun, baja dan untuk baik pulih pokok-pokok.
"Tujuan utamanya ialah untuk meningkatkan produktiviti yang mana sasaran pihak RISDA adalah untuk mendapat sebnyak 1,800 kilogram hasil getah sepanjang tahun untuk satu hektar,"katanya.
Manakala bagi peringkat dua, SGM memberikan bantuan penyediaan baja RISDA kepada pemilik kebun termasuk racun rumpai, sama seperti yang ditawarkan dalam peringkat satu SGM.
Seterusnya, peringkat tiga, empat dan lima, ia memfokuskan kepada insentif kepada pekebun kecil yang berjaya mencapai sasaran produktiviti yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) Peringkat Negeri Perlis.