
JOHOR BAHRU, 21 Mac -Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri, bersama-sama lebih 2,000 jemaah, di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
- Khutbah menekankan amalan bersederhana dan menjaga batas pergaulan semasa kunjung-mengunjungi.
- Di Melaka, 11,000 jemaah menunaikan solat di Masjid Al Azim; Yang Di Pertua Negeri beramah mesra dan bergambar bersama jemaah.
- Di Kelantan, Tengku Mahkota hadir bersama Menteri Besar; solat diimamkan Imam Besar, khutbah oleh Mufti, baginda bersalaman dan ziarah Makam D'Raja Langgar.
- Di Johor, pelbagai kerabat diraja termasuk Tunku Temenggong, Tunku Panglima dan Tunku Putera hadir; bekas pemain All Blacks Sonny Bill Williams turut serta.
Ketibaan Tunku Mahkota Ismail diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta barisan exco negeri.
Solat sunat Aidilfitri disertai Tunku Temenggong Johor, Tunku Panglima Johor dan Tunku Putera Johor. Selain itu, turut serta bekas Pemain Ragbi All Blacks New Zealand, Sonny Bill Williams.
Khutbah Aidilfitri disampaikan Imam Besar Negeri, Ustaz Muhamad Bukharuddin Ismail, yang menyentuh tentang amalan bersederhana semasa Aidilfitri, serta menjaga batas pergaulan semasa kunjung-mengunjungi.
Selepas selesai khutbah, Tunku Mahkota Ismail berkenan, bersalaman dengan para Jemaah masjid, daripada setiap lapisan masyarakat.
Sementara itu, di Melaka seramai 11,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Masjid Al-Azim, Bukit Palah.
Turut sama menunaikan solat sunat Aidilfitri, Yang Di Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Terdahulu, Tun Mohd Ali tiba di Masjid Al Azim bersama isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman pada 8.15 pagi diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad.
Selesai solat sunat Aidilfitri, Tun Mohd Ali turut beramah mesra dengan jemaah yang hadir serta bergambar kenangan Jemaah yang hadir.
Manakala di Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan berangkat menyertai lebih 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
Baginda tiba kira-kira puku 8.30 pagi, diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Solat sunat Aidilfitri diimamkan Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hanafizi Abdullah, manakala khutbah disampaikan Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Mohamad.
Usai solat, Baginda berkenan bersalaman bersama para jemaah sebelum berangkat ke Makam D’Raja Langgar.