KUALA LUMPUR, 23 September - Pameran dan Forum Resilient Asia 2025 yang julung kali diadakan di Malaysia merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh sistem pengurusan bencana negara selaras dengan komitmen meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat di peringkat tempatan, serantau dan global.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ia turut menekankan peranan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu utama dalam pengurusan bencana moden, selain menggalakkan pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) melalui forum, bengkel dan sesi perkongsian ilmu.
"Inisiatif ini sangat penting kerana bukan sahaja melibatkan kerajaan, tetapi turut membabitkan sektor swasta, komuniti dan rakan antarabangsa. Setiap langkah yang diambil diharap dapat memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat dan negara," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis pelancaran Pameran dan Forum Resilient Asia 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara.
Datuk Seri Dr Noraini hadir mewakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis itu.
Penganjuran iitu juga signifikan dan bertepatan dengan Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025, yang juga menandakan ulang tahun ke-10 pelaksanaannya di Malaysia.
"Program ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada agensi pengurusan bencana, malah turut mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa sebagai peneraju dalam bidang pengurangan risiko bencana dan kesiapsiagaan komuniti.
"Ia sekali gus membuktikan komitmen negara memperkukuh daya tahan masyarakat melalui perkongsian pengalaman, inovasi serta amalan terbaik di peringkat tempatan, serantau dan global," katanya.
Bertemakan 'AI For Future-Proofing Disaster Management Towards Stronger Communities', pameran selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober depan itu akan menghimpunkan delegasi antarabangsa dari Amerika Syarikat, Jepun, China, Australia, Belanda, United Kingdom, Korea Selatan, Turkiye dan Qatar.
Ia termasuk pelbagai pemegang taruh daripada kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan tinggi, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti akar umbi.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku penganjur utama diberi mandat besar untuk memastikan program itu menjadi platform strategik, bukan sahaja bagi mengukuhkan kesiapsiagaan nasional tetapi juga dalam merealisasikan komitmen Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.