fb fb fb fb fb

RELASIS bina mahasiswa berdisiplin dan berdaya tahan

Foto RTM

ARAU, 21 September -Negara memerlukan tenaga muda yang bukan sahaja cerdas dalam akademik, tetapi juga berdisiplin dan berdaya tahan, demi masa depan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Lokman Effendi Ramli berkata, penubuhan Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS) merupakan satu inisiatif strategik yang diwujudkan bagi membentuk jati diri, memupuk disiplin, dan menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, dunia hari ini penuh cabaran bermula dengan isu keselamatan komuniti, ancaman jenayah siber, bencana alam hinggalah kepada cabaran perpaduan.

Lokman menegaskan mahasiswa yang menyertai RELASIS akan menjadi pelapis kepimpinan negara, sekali gus memainkan peranan penting sebagai benteng pertahanan komuniti.

"Melalui RELASIS, saudara-saudari bukan sahaja belajar tentang latihan kawad, bukan setakat modul kepimpinan atau aktiviti sukarela tetapi lebih penting saudara saudari belajar tentang erti kebersamaan, semangat pasukan dan kesetiaan kepada agama, bangsa dan tanah air.

"Saya ingin mengingatkan bahawa ilmu di dewan kuliah sahaja tidaklah mencukupi untuk menjadi warga negara yang cemerlang atau pun graduan yang berjaya. Ia memerlukan nilai tambah di dalam diri dalam bentuk kepimpinan, disiplin, integriti dan sifat ingin berbakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya.
 
Beliau memaklumkannya pada Majlis Pentauliahan Briged Rela Siswa Siswi (RELASIS) Peringkat Kebangsaan 2025 di Kampus UniMAP Pauh Putra dimana seramai 321 pelajar daripada 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerima tauliah masing-masing.

Setiap siswa dan siswi yang ditauliahkan sebagai RELASIS diingatkan supaya meneruskan penglibatan aktif dan pasukan RELA walaupun setelah tamat pengajian, berpegang teguh kepada nilai integriti dan memberikan sumbangan tenaga dan kepakaran dalam bidang dipelajari.

TETITIA YUSOFF