
PERMATANG PAUH, 29 Ogos – Siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) amat penting bagi mengelak negara terus menanggung kerugian.
- Pengurusan dana TH mesti ditangani secara telus dan tegas meskipun kerajaan berdepan kritikan.
- Tindakan undang-undang perlu diambil jika siasatan menemui bukti kukuh salah laku.
- Bukti dikumpul dan dibawa ke mahkamah; hakim tentukan kesalahan, yang tidak bersalah dibebaskan.
- Tujuan tindakan adalah menghentikan kebocoran supaya lebih banyak wang disalurkan kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu pengurusan dana TH wajib ditangani secara telus dan tegas meskipun kerajaan berdepan kritikan.
Menurutnya, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab jika siasatan menemukan bukti kukuh berhubung salah laku.
Sekali gus, memastikan sumber negara dapat disalurkan demi manfaat rakyat.
“Macam isu Tabung Haji, kalau kita tidak ambil tindakan, negara yang rugi. Bila ambil tindakan, kita pula dimaki. Saya pun tidak faham.
“Kita tidak boleh menghukum orang yang tidak bersalah. Yang menentukan salah atau tidak bukan Perdana Menteri. Saya tidak menangkap sesiapa. Saya cuma persoalkan, kalau benar ada RM12 bilion yang hilang, bagaimana ia boleh berlaku, bila ia berlaku dan siapa yang bertanggungjawab.
“Siasat dan kumpulkan bukti. Kalau ada bukti yang kukuh, bawa ke mahkamah dan serahkan kepada hakim untuk menentukan kesalahan. Kalau tidak bersalah, dilepaskan. Kalau bersalah, hukuman akan ditentukan mengikut undang-undang.
“Itulah cara kita mentadbir negara. Tujuannya adalah untuk memastikan kebocoran dapat dihentikan supaya lebih banyak wang dapat disalurkan kepada rakyat. Siapa kata Malaysia ini negara miskin? Masalahnya, banyak yang bocor di tengah jalan dan tidak sampai ke bawah, “katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti.