
KOTA BHARU, 29 Ogos – Perkembangan konflik di Asia Barat dipantau secara berterusan bagi memastikan sebarang kesan terhadap ekonomi Malaysia, khususnya dari segi rantaian bekalan, inflasi dan pasaran pekerjaan, dapat ditangani dengan segera.
- Kerajaan sentiasa bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan akibat situasi berubah-ubah.
- Papan pemuka pemantauan krisis berfungsi sebagai rujukan berpusat untuk perkembangan semasa.
- Kerajaan memberi maklumat terperinci kepada rakyat mengenai krisis yang sedang berlaku.
- Pemantauan berterusan dan libat urus berkala dengan pihak berkepentingan terus diperkuat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, situasi yang sering berubah-ubah dan sukar diramal menyebabkan kerajaan perlu bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan, termasuk gangguan terhadap rantaian bekalan global serta tekanan ke atas harga komoditi.
Pada masa sama, peranan papan pemuka atau dashboard pemantauan krisis juga sangat penting sebagai sumber rujukan berpusat bagi memantau perkembangan semasa ekonomi dan rantaian bekalan global.
Sekali gus, membolehkan kerajaan memberikan maklumat terperinci kepada rakyat berhubung krisis yang sedang berlaku.
“Kita akan terus memantau kerana keadaan sentiasa berubah. Apa jua langkah yang kita ambil adalah untuk memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan, selain memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat dan tepat kepada rakyat, ” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kelantan di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Shahar memaklumkan, walaupun prestasi ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan awal, kerajaan tetap berjaga-jaga dan tidak boleh berasa terlalu selesa.
Pemantauan berterusan serta sesi libat urus secara berkala bersama pelbagai pihak berkepentingan akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa.