RCI Tabung Haji: Tiga kertas siasatan lengkap, tiga dalam siasatan

Datuk Seri Abdul Halim Aman

KUCHING, 13 Ogos – Tiga daripada enam kertas siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kini telah dilengkapkan sepenuhnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh suspek ditahan; lima direman manakala dua dibebaskan dengan jaminan atas faktor kesihatan.
  • Pemeriksaan dan penggeledahan dijalankan terhadap 28 premis, kebanyakannya di sekitar Lembah Klang.
  • Seramai 115 individu dipanggil untuk temu bual dan rakaman keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
  • SPRM membuka 14 kertas siasatan, meneliti aliran kewangan, dokumen bank, kontrak, perjanjian dan dokumen pembayaran.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, tiga lagi kertas siasatan masih dalam siasatan dan kini berada pada peringkat akhir.

“Tiga isu telah selesai, dan maksud selesai di sini ialah siasatan telah dilengkapkan sepenuhnya. Terdapat perakuan untuk tuduhan dan terdapat juga perakuan supaya kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Manakala, tiga isu lagi masih berada pada peringkat akhir siasatan. Mungkin dalam masa terdekat, siasatan terhadap tiga isu berkenaan akan dilengkapkan dan saya akan memaklumkan status kesemua enam isu itu selepas siasatan selesai sepenuhnya,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu, tujuh suspek ditahan, lima daripadanya direman bagi membantu siasatan manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan atas faktor kesihatan. Kesemua mereka memegang jawatan tertentu di Tabung Haji.

Dalam pada itu, siasatan turut merangkumi pemeriksaan dan penggeledahan terhadap 28 premis, kebanyakannya di sekitar Lembah Klang. Seramai 115 individu pula telah dipanggil untuk ditemu bual dan dirakam keterangan di pejabat SPRM di Putrajaya.

Sehingga kini, SPRM telah membuka 14 kertas siasatan berhubung isu berkenaan, termasuk meneliti aliran kewangan, dokumen serta penyata kewangan daripada institusi perbankan dan kewangan yang berkaitan.

Selain itu, SPRM juga meneliti dokumentasi kontrak, perjanjian dan dokumen pembayaran bagi mengenal pasti sebarang unsur kesalahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.