
JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bakal mewujudkan pusat kurungan haiwan, dengan objektif menangkap anjing dan kucing liar seterusnya menangani isu berkenaan secara sistematik.
- Pastikan setiap haiwan liar yang ditangkap diberikan makanan, rawatan serta penjagaan sewajarnya.
- Selepas sembuh dan menjalani proses 'trim', haiwan akan diberi secara percuma kepada orang lain.
- MBJB bercadang memperluas kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, NGO dan pencinta haiwan melalui program perintis berperingkat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata pusat itu juga memastikan setiap haiwan liar yang ditangkap diberikan makanan, rawatan serta penjagaan sewajarnya
“Selepas itu, kita jaga makan dan minumnya. Apabila sudah sihat dan menjalani proses ‘trim’, kita berikan secara percuma kepada orang lain. Jadi, jika perkara ini dapat dilaksanakan secara berfasa, kita boleh melihat pendekatan seperti di negara-negara maju, di mana kucing-kucing berkeliaran tanpa menimbulkan masalah, tetapi dalam keadaan sihat dan terhindar daripada penyakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penganjuran Johor Smart City Forum di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Johor.
Tambah beliau, MBJB turut bercadang memperluas kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan pencinta haiwan menerusi program perintis secara berperingkat.