eFishery: Belum ada unsur rasuah, penyelewengan dikesan dalam pelaburan KWAP

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman

KUCHING, 13 Ogos – Belum ada sebarang unsur jenayah berkaitan rasuah atau penyelewengan dikesan dalam siasatan berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bernilai RM163.4 juta dalam syarikat akuakultur Indonesia, eFishery.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM telah merakam keterangan 19 saksi termasuk pegawai KWAP, Kementerian Kewangan dan Khazanah untuk membantu siasatan.
  • Tiada tangkapan dibuat setakat ini kerana belum ada keperluan, menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM.
  • Siasatan memerlukan permohonan MLA kepada Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan Emiriyah Arab Bersatu; proses merentasi bidang kuasa mengambil masa lebih lama.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setakat hari ini pihaknya telah merakam keterangan 19 saksi bagi membantu siasatan.

“Setakat hari ini, siasatan masih belum menjumpai apa jua kesalahan dari segi rasuah, penyelewengan dan juga kesalahan dari segi penyalahgunaan kuasa. Saksi yang telah dirakam keterangan termasuk pegawai KWAP, Kementerian Kewangan serta Khazanah Nasional Berhad,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, tiada tangkapan dibuat setakat ini kerana belum ada keperluan untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, hasil siasatan penuh hanya dapat diperoleh selepas keterangan saksi serta individu yang dikenal pasti dari luar negara, termasuk Singapura dan Indonesia, diperoleh.

Jelas beliau, siasatan yang melibatkan bidang kuasa luar negara mengambil masa lebih lama kerana memerlukan permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) melalui Jabatan Peguam Negara sebelum disampaikan kepada negara terbabit.

Selain Singapura dan Indonesia, pasukan siasatan turut mendapati permohonan MLA perlu dipanjangkan kepada dua lagi negara, iaitu Amerika Syarikat dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.