Kes denggi Perak meningkat 38.6 peratus, 1,712 kes direkodkan

Foto RTM

IPOH, 13 Ogos – Kes denggi di Perak meningkat hampir 40 peratus dengan 1,712 kes direkodkan sehingga 8 Ogos lalu, meningkat 477 kes atau 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa kesihatan mempergiat penilaian risiko di kawasan dikenal pasti berpotensi penularan denggi.
  • Lim Garden, Ipoh diberi perhatian susulan aduan penduduk berkaitan keadaan persekitaran lokaliti berkenaan.
  • Pejabat Kesihatan Daerah Kinta menjalankan penilaian untuk mengenal pasti faktor penyumbang kepada penularan.
  • Hasil penilaian akan dikongsi dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh untuk tindakan lanjut.

Peningkatan itu turut melibatkan satu kematian akibat denggi yang dilaporkan di negeri berkenaan sepanjang tahun ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, pihak berkuasa kesihatan kini mempergiat penilaian risiko di kawasan yang dikenal pasti berpotensi berlaku penularan denggi.

Katanya, antara kawasan yang diberi perhatian ialah Lim Garden, Ipoh, susulan aduan penduduk berkaitan keadaan persekitaran di lokaliti berkenaan.

Menurutnya, penilaian risiko sedang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kinta bagi mengenal pasti faktor yang berpotensi menyumbang kepada penularan penyakit berkenaan.

Dalam pada itu, Sivanesan memaklumkan wabak chikungunya terakhir dilaporkan di Lim Garden pada Januari 2024, membabitkan empat kes.

“Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada tahun ini dan tahun lepas berlaku di Lim Garden,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau lokasi berkenaan di Ipoh.

Sivanesan berkata, hasil penilaian risiko di Lim Garden akan dikongsi bersama pihak berkepentingan termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk tindakan lanjut.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya mengambil serius aspek kebersihan persekitaran dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi membantu membendung peningkatan kes denggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.