
KUALA LUMPUR, 6 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara keseluruhan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang melabuhkan tirainya di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
- UPM mengumpul 35 emas, 20 perak dan 15 gangsa.
- UiTM kedua: 29 emas, 21 perak, 32 gangsa; UM ketiga: 28 emas, 18 perak, 17 gangsa.
- 46 rekod kejohanan dipecahkan; 13 olahraga, 18 renang, 15 memanah; dua rekod kebangsaan kayak TK1 200m wanita dan menembak 10m air rifle lelaki.
- Olahragawan: Rodney James Darren James (HELP); Olahragawati: Syahida Asyiqin Rusli (UPSI).
Kontinjen UPM mengumpul 35 pingat emas, 20 perak dan 15 gangsa untuk mengulangi kejayaan muncul juara pada edisi SUKIPT 2022.
Juara bertahan edisi 2024, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menduduki tempat kedua dengan 29 emas, 21 perak dan 32 gangsa, manakala tuan rumah UM di tempat ketiga selepas mengumpul 28 emas, 18 perak dan 17 gangsa.
Timbalan Ketua Kontinjen UPM Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata kejayaan itu di luar jangkaan, memandangkan pihaknya pada awalnya tidak meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan.
“Alhamdulillah, untuk kali keempat UPM menjadi juara SUKIPT. Pada asalnya memang kita tidak menyasarkan untuk 2026 ini, disebabkan pencapaian atlet yang kita pantau menerusi kejohanan-kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Varsity Sports Championship (VSC).
“Daripada situ kita boleh membuat sedikit ramalan, tetapi kuasa Allah, akhirnya untuk SUKIPT kali ini UPM menjadi juara,” katanya ketika ditemui.
Mengulas sukan yang menjadi penyumbang utama kepada kejayaan UPM, beliau berkata beberapa acara sememangnya kekal menjadi kekuatan kontinjen itu, antaranya hoki lelaki dan wanita serta bola jaring yang masing-masing muncul juara.
“Untuk UPM, kita ada beberapa sukan yang masih dominan. Hoki lelaki, hoki wanita dan bola jaring kita juara. Kemudian untuk olahraga, bagi acara individu kita dapat 15 emas.
“Kita tidak sangka pula untuk ragbi, kita kalah pada separuh akhir dan mendapat tempat ketiga. Itu memang sesuatu yang kita tidak sangka,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 46 rekod kejohanan berjaya dipecahkan sepanjang temasya itu, merangkumi 13 rekod dalam olahraga, 18 dalam renang serta 15 dalam memanah.
Manakala, dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkan masing-masing menerusi acara kayak TK1 200 meter (m) wanita dan menembak 10m air rifle lelaki.
Atlet HELP University Rodney James Darren James dan Syahida Asyiqin Rusli daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2026, susulan pencapaian cemerlang mereka sepanjang temasya.- BERNAMA