RCI Tabung Haji : Penubuhan ‘Super Agency’ dipertimbang, selaras tindakan susulan

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Penubuhan gerakan siasatan ‘Super Agency’ yang akan melibatkan pelbagai badan penguatkuasaan undang-undang akan dipertimbangkan bagi menyelaras tindakan susulan terhadap dapatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan terbuka menerima cadangan bernas bagi melaksana dan mengukuhkan sistem sedia ada.
  • Segala dapatan RCI jelas; siasatan akan diteruskan sehingga selesai dan tindakan diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
  • Penambahbaikan proses kawal selia akan diteliti untuk memastikan isu serupa tidak berulang pada masa hadapan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan bersikap terbuka untuk menerima cadangan yang bernas dan akan mencari pendekatan terbaik dalam melaksana serta mengukuhkan sistem sedia ada.

“Bagi agensi yang bertanggungjawab mengawal selia kerajaan, kita akan meneliti proses ini untuk tujuan penambahbaikan. Kita tidak mahu isu sebegini berulang. Jadi, cadangan-cadangan yang bernas akan kita ambil kira dan kita akan melihat kaedah terbaik untuk melaksanakannya.

“Apa yang kita peroleh daripada RCI juga jelas, iaitu sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan atau pelanggaran, kita perlu meneruskan siasatan sehingga selesai dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Kedua, kita juga perlu melihat aspek penambahbaikan proses dalam kawal selia bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan RCI TH di Parlimen di sini hari ini.

Datuk Seri Amir Hamzah turut menegaskan bahawa segala dapatan RCI adalah jelas, dan sebarang ketidakpatuhan atau pelanggaran peraturan akan disiasat serta tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.