KUALA LUMPUR, 28 Mei- Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 merupakan antara usaha kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Sekali gus, memastikan pengagihan subsidi dapat dilaksana secara adil dan sampai kepada golongan sasar.
Demikian menurut Ketua Penyelidikan dan Pengajian Siswazah UCSI University, Dr Nadzirah Zainordin.
"Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun untuk subsidi bahan api, dan sebahagian besar dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi yang tidak sepatutnya menerima manfaat itu.
"Dengan pengurangan subsidi ini, dana boleh disalurkan kepada sektor lain seperti kesihatan, pendidikan, dan infrastruktur," katanya ketika dihubungi RTM.
Tambahnya, impak daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 boleh diminimumkan sekiranya mekanisme pelaksanaanya dijalankan secara komprehensif.
"Kesan kepada rakyat sememangnya lebih kompleks terutama bagi golongan B40 dan sebahagian M40 yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja atau berniaga.
"Namun begitu, dengan pelaksanaan mekanisme yang betul, kesan ini boleh diminimumkan," tambahnya.
Isnin lalu, kerajaan mengumumkan untuk melaksana rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang dirancang pada separuh kedua tahun ini.