KUALA LUMPUR, 30 Januari -Hari ini terpahat satu lagi detik bersejarah buat rakyat Malaysia yang menyaksikan Istiadat Keberangkatan Balik Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI selepas genap lima tahun baginda bertakhta sebagai Ketua Utama Negara.
Istiadat Keberangkatan Balik baginda berdua turut mendapat liputan meluas dari pelbagai media arus perdana khususnya Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menyiarkan secara langsung keunikan adat istiadat serta sistem raja berpelembagaan di negara ini.
Al-Sultan Abdullah, 64, yang melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019, dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Istana Negara kira-kira 8.20 pagi.
Keberangkatan balik pasangan diraja diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku menteri pengiring dan isteri, Raja Datin Seri Johanna Adrina Raja Arshad.
Ketika meninggalkan Istana Negara, kenderaan khas yang membawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong melintasi Kawalan Kehormatan Darjat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn, Setapak, yang turut mempersembahkan "Hormat Diraja" di Dataran Istana Negara.
Kenderaan yang membawa Baginda berdua itu kemudiannya berangkat menuju ke Dataran Parlimen dan seterusnya dibawa ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk menaiki pesawat pulang ke Pahang.
Sebelum itu di dalam Istana Negara, laungan azan turut mengiringi keberangkatan balik baginda berdua.
Azan dilaungkan Pembantu Pegawai Agama di Istana Negara Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni sebelum pasangan diraja itu meninggalkan pekarangan Istana Negara.
Pada 8.20 pagi, Seri Paduka baginda beruda berangkat tiba ke Dataran Parlimen untuk menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik
Ketibaan Seri Paduka baginda berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 22 anggota Skuadron Istiadat Berkuda yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor, diketuai Sarjan Ismail Katirin.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir.
Seri Paduka berdua kemudian diiring ke Pentas Diraja, melintasi Pasukan Pengawal Tombak diikuti persembahan tabik Hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama, disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Leftenan Muhammad Fauzee Japar.
Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong direndahkan, diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).
Dalam pada itu, seawal 7.00 pagi tadi lebih 3,500 rakyat mengambil peluang berkumpul di sepanjang Jalan Parlimen, bagi menyaksikan Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong .
Lambaian kasih bermula dari Dataran Parlimen ke Bulatan Dato' Onn sebelum Seri Paduka Baginda berdua berlepas ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Setibanya, pasangan diraja itu di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suasan pilu dan hiba turut menyelubungi mereka yang hadir.
Seri Paduka Baginda sempat memberi lambaian terakhir dan kelihatan Tunku Azizah menyeka air mata sebelum melangkah ke pesawat yang akan membawa kembali pasangan diraja itu ke singgahsana negeri Pahang Darul Makmur.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga berkenan berada di atas pentas Diraja bagi menyaksikan persembahan “Lambaian Kasih” oleh peserta perarakan pelbagai kaum yang menampilkan persembahan tarian, diiringi lagu "Daulat Tuanku".
Sejak hari pertama dipilih sebagai ketua memayungi negara, gelagat dan aksi pasangan diraja itu sering mencuri perhatian dan mencuit hati rakyat.
Keramahan dan cara Seri Paduka baginda berdua mendekati rakyat, selain keprihatinan baginda dan sentiasa merendah diri apabila mencemar duli bertemu rakyat telah meninggalkan rasa kasih sayang mendalam rakyat jelata.
Malah sehingga ke hari ini, sebelum pintu pesawat ditutup baginda berdua melambai ke arah hadirin dan kenamaan sambil memberi isyarat 'mini love' dan kucupan layang atau 'flying kiss'.
Pesawat khas membawa Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berlepas ke Kuantan pukul 11.16 pagi.
Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang ke-6 pada 15 Januari 2019 menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari 2019.
Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok.