SHAH ALAM, 13 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa integriti, akhlak dan nilai moral perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.
Tambahnya, Ramadan harus menjadi landasan perubahan yang membentuk peribadi mulia dan bukan sekadar amalan tanpa kesan.
"Satu aspek penting, integriti. Ibadah ini melatih kita tentang integriti, disiplin. Apakah benar kita berpuasa dan menentukan kita dengan Allah SWT.
Betapa ramai yang berpuasa tapi tidak menyempurnakan sepenuhnnya. Aspek integriti dalam Ramadan tapi tidak integriti dalam tugas. Masih ada kebocoran penyelewangan, kesan ibadah dalam kehidupan. Amalan, soal integriti, akhlak soal moral perlu diterapkan," kata Datuk Seri Anwar dalam ucapannya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama pimpinan masyarakat tempatan Negeri Selangor yang berlangsung di Dewan Raja Muda, Shah Alam.
Majlis anjuran kerajaan negeri itu turut disertai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta barisan pimpinan pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari dalam ucapannya menyeru rakyat agar terus bersatu dalam menghadapi cabaran semasa.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan dan perpaduan adalah kunci utama kejayaan negara dalam tahun-tahun mendatang.
"Kita dalam pelbagai jemaah, kelompok. Kita buat satu kesepakatan untuk buat perpaduan dalam negara kita. Mari kita kekalkan elemen itu kerana ini resepi kejayaan beberapa tahun ke depan.
Anda semua pasukan kita, sama ada di negeri atau Persekutuan, wajar memikul dan insya-Allah, kita cekal dan istiqomah melaksanakan usaha berterusan, kita akan capai kejayaan," kata Amirudin.
Terdahulu, pada sebelah petang, Perdana Menteri turut meluangkan masa menziarah bazar Ramadan di Seksyen 2, Shah Alam, serta beramah mesra dengan orang ramai.