Rakyat disaran berjimat susulan konflik di Asia Barat

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Orang ramai diingatkan melakukan langkah penjimatan ekoran situasi konflik Asia Barat yang berlaku ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konflik dianggap perang ekonomi yang boleh menjejaskan rantaian bekalan petroleum.
  • Inisiatif BUDI95 membantu mengekalkan harga petrol dan membendung kenaikan kos terutamanya menjelang musim perayaan.
  • Peranan kerajaan dan rakyat penting untuk meminimumkan kesan konflik melalui penjimatan dan perbelanjaan berhemah.

Meskipun Malaysia merupakan negara pengeksport minyak berkualiti tinggi namun situasi yang berlaku ketika ini boleh mendatangkan pelbagai kemungkinan.

Penolong Rektor UITM Cawangan Kampus Kuala Terengganu Dr Syahrul Hezrin Mahmud menyifatkan situasi ketika ini adalah perang ekonomi yang dijangka memberi kesan terhadap rantaian bekalan petroleum itu sendiri.

“Namun, dengan adanya menerusi inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) ini, ia dapat membantu membendung kenaikan harga barang, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

“Walaupun begitu, kita juga perlu berhati-hati mulai sekarang dengan mengamalkan penjimatan dan berbelanja secara berhemah kerana kita tidak dapat menjangkakan berapa lama konflik ini akan berterusan.

“Selain peranan kerajaan, saya melihat rakyat Malaysia juga mempunyai peranan untuk meminimumkan kesan daripada konflik ini,” katanya dihubungi RTM.

Ketika ini kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM2 bilion sebulan bagi mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter menerusi BUDI95.