fb fb fb fb fb

Semua pihak harus hormati, tidak campuri urusan hal ehwal Agama Islam - Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah / Foto Fail

KLANG, 29 Disember - Rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam diingatkan untuk menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di negara ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menerusi satu kenyataan bertitah MKI yang dipengerusikan oleh Baginda memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

Titah baginda, MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan Agama Islam.

Justeru, Baginda mengharapkan agar ahli-ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak berterusan mencampuri urusan hal ehwal Agama Islam dan menyeru agar penganut agama-agama lain untuk mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di negara ini.

Baginda bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham agar kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal Undang-Undang Islam.

Sultan Sharafuddin turut mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke berhubung perkara tersebut.

 

BERITA BERKAITAN:

Kenyataan Koo Ham lantik pakar bukan Islam satu kekhilafan - Anthony

 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN