JAKIM perkukuh tadbir urus berteraskan ‘Maqasid Syariah’

Foto RTM

PUTRAJAYA, 24 Julai – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) komited memperkukuh tadbir urus organisasi berasaskan nilai integriti, akauntabiliti, profesionalisme dan amanah dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan demi memelihara kepentingan agama, negara dan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Titah Sultan Perak menggesa pengukuhan tadbir urus dan pembangunan inklusif berteraskan maqasid syariah.
  • Penubuhan Jawatankuasa Panel Pakar Pembangunan Indeks Maqasid Syariah dipengerusikan Mufti Wilayah Persekutuan.
  • Tugas jawatankuasa: kajian, penyelidikan dan pembangunan kerangka Indeks Maqasid Syariah Malaysia untuk dasar dan pengukuran prestasi.
  • JAKIM akan memperkukuh kerjasama strategik dengan Majlis dan Jabatan Agama Negeri bagi pengurusan hal ehwal Islam cekap dan selaras maqasid.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dalam satu kenyataan berkata, langkah berkenaan adalah selari dengan titah Sultan Perak yang menzahirkan pandangan agar negara Islam terus memperkukuh tadbir urus serta pembangunan inklusif berteraskan maqasid syariah.

“JAKIM menubuhkan Jawatankuasa Panel Pakar Pembangunan Indeks Maqasid Syariah Malaysia yang dipengerusikan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz Fadzil,”katanya.

Tambah beliau, penubuhan jawatankuasa tersebut bertujuan menjalankan kajian dan penyelidikan, di samping membangunkan kerangka Indeks Maqasid Syariah Malaysia sebagai panduan kepada pelaksanaan dasar, pengukuran prestasi serta pengukuhan budaya tadbir urus berintegriti.

“Inisiatif berkenaan diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, JAKIM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri serta semua pihak berkepentingan bagi memperkasa pengurusan hal ehwal Islam yang lebih cekap, berkesan dan selaras dengan tuntutan maqasid syariah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.