fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Perak berkenan lancar buku Karya Seni Bidadari

(Tuanku Zara Salim hari ini berkenan melancarkan Buku Karya Seni Bidadari di Dewan Perbandaran Taiping/ BERNAMA)

TAIPING, 17 Mac- Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim hari ini berkenan melancarkan Buku Karya Seni Bidadari di Dewan Perbandaran Taiping.

Keberangkatan baginda diiringi Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri), Datin Seri Aezer Zubin

Buku Karya Seni Bidadari yang diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina merupakan ilustrasi seni dan kreatif pelajar-pelajar serta pelatih insan bermasalah intelek yang dijual pada harga RM25 senaskah.

Buku tersebut merupakan inisiatif Persatuan Insan Bermasalah Intelek Perak (PAFID) dalam mengumpul dana bagi pembangunan Sekolah Semangat Maju.


(Tuanku Zara sempat meluangkan masa melawat ruang pameran yang menempatkan hasil seni
kreatif pelajar-pelajar berkenaan/ BERNAMA)

Menurut Presiden PAFID, Alex Loh Peng Wee, setiap lukisan yang ada dalam buku berkenaan menggambarkan emosi insan bermasalah intelek digambarkan dari sudut mata mereka.

"Melihat kepada karya mereka, saya berasa terharu atas keupayaan mereka menzahirkan idea-idea di luar jangkaan dengan potensi mereka harus diberi keutamaan dan diberi pengiktirafan. 

"Seharusnya ini akan memberi kesedaran kepada kita untuk menghargai dan menyayangi mereka. Mereka merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat dan warga kita yang tidak boleh dipinggirkan," katanya.

Dalam pada itu, Alex berkata PAFID mengelolakan sebuah taska, lima buah Sekolah Semangat Maju dan lima bengkel Perlindungan Semangat Maju iaitu di Ipoh, Taiping, Sitiawan, Kuala Kangsar dan Batu Gajah.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 460 kanak-kanak dan dewasa berdaftar di bawah PAFID termasuk 200 orang pelatih dewasa yang ditempatkan bekerja di kilang dan bengkel di bawah kelolaan PAFID.

Media Baharu