JAKARTA, 21 September - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mempromosikan makanan tempatan Perlis di Indonesia bersempena Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) International Leadership Mobility (ILM) 2025 yang berlangsung di Jakarta dan Bandung dari 12 hingga 18 September lalu.
Baginda memilih masakan kurma daging sebagai hidangan utama untuk diperkenalkan pada sesi Perlis Food Promotion kepada pengusaha restoran dan cef di beberapa hotel terkemuka di kedua-dua kota berkenaan.
Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin, serta Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, dan Teknologi Indonesia, Brian Yuliarto.
Pengurus Besar Holiday Inn Express Jakarta Matraman, Alldilah Arief Permadi, berkata pihaknya berbesar hati kerana dipilih untuk mempromosikan menu berkenaan dan yakin ia boleh dijadikan sajian baharu di hotel mereka.
“Penyediaan masakan kurma daging ini tidaklah terlalu sukar kerana bahan-bahannya hampir sama dengan yang biasa digunakan di Indonesia, malah rasanya juga sangat enak,” katanya.
Sementara itu, Cef Eksekutif Food and Beverage Hotel Pullman Jakarta, Koay Chee Ming, melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menyediakan menu berkenaan.
“Kesudian Tuanku Raja Muda mempromosikan makanan Perlis di Indonesia sangat dihargai kerana perkembangan kulinari di Jakarta pesat, sekali gus memberi peluang untuk kami meneroka lebih banyak variasi menu,” katanya.
Sepanjang UniMAP ILM 2025, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga masjid iaitu Masjid Rian Maulana dan Masjid Istiqlal di Jakarta serta Masjid Al Jabbar di Bandung.
Dalam titahnya, baginda menyeru agar institusi masjid memperkukuh jaringan persaudaraan dan semangat kebersamaan demi melahirkan generasi muda berilmu, berakhlak mulia serta berwawasan global.