Raja Muda Kedah puji keberanian warga emas lapor cucu terlibat dadah

Mad Akhir Hanafiah (kiri) menerima kunjungan Raja Muda Kedah di kediamannya di Tanjung Dawai selepas beliau membuat laporan polis terhadap cucunya yang terlibat penyalahgunaan dadah, sebagai usaha menyelamatkan masa depan cucunya itu. Foto RTM

TANJUNG DAWAI, 9 Januari – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin memuji tindakan bertanggungjawab dan berani seorang warga emas di Tanjung Dawai yang membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menahan cucu lelakinya yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Muda puji keberanian warga emas membuat laporan polis demi selamatkan masa depan cucu terbabit dadah.
  • Baginda tekankan masyarakat perlu bertanggungjawab melaporkan penyalahgunaan dadah atas alasan agama dan moral.
  • Pihak berkuasa dan agensi pemulihan diminta beri perhatian khusus untuk proses pemulihan suspek.
  • Suspek 29 tahun ditahan, ada rekod lampau dan diarahkan jalani rawatan di pusat pemulihan narkotik.

Baginda bertitah, meskipun berdepan perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap darah daging sendiri, tindakan Mad Akhir Hanafiah atau Tok Wan, 75 tahun, wajar dijadikan contoh oleh masyarakat demi menyelamatkan masa depan orang tersayang.

Raja Muda Kedah turut menekankan agar pihak berkaitan memberi perhatian khusus dalam membantu proses pemulihan cucu warga emas berkenaan supaya beliau dapat kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.

Baginda bertitah masyarakat perlu memikul tanggungjawab untuk melaporkan sebarang salah laku berkaitan penyalahgunaan dadah kerana ia merupakan tuntutan dari segi agama dan moral.

Menurut Baginda, sikap berdiam diri, menyembunyikan kesalahan serta enggan membuat laporan kepada pihak berkuasa tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat.

“Laporan perlu dibuat kepada pihak berkuasa atau Agensi Antidadah Kebangsaan supaya tindakan selanjutnya dapat diambil. Ahli keluarga pula tidak seharusnya menuduh atau menghukum, sebaliknya membantu supaya individu terlibat dapat menjalani pemulihan dengan betul,” titah Baginda.

Raja Muda Kedah bertitah demikian selepas berangkat menyantuni Mad Akhir Hanafiah dan isterinya, Rahani Manap di Batu 14, Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Mengiringi kunjungan berkenaan ialah Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan, Pegawai Daerah Kuala Muda, Azmin Zainol Abidin serta Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak.

Sementara itu, Mad Akhir menyatakan rasa terharu atas keberangkatan Tuanku berdua menziarahi keluarganya dan berharap lebih ramai tampil mengambil tindakan sama demi membendung masalah dadah.

“Saya harap keluarga, rakan dan jiran yang berdepan situasi sama berani tampil membuat laporan. Jangan biarkan anak atau cucu terus terjebak dengan dadah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan memaklumkan suspek berusia 29 tahun ditahan pada pukul 9 malam Rabu susulan laporan polis yang dibuat oleh datuknya.

Beliau berkata suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sedang dalam proses pertuduhan di bawah Seksyen 39C akta sama kerana melakukan kesalahan berulang.

Menurutnya, suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah, termasuk dua kes yang pernah membawa kepada hukuman penjara.

Baki kes pula menyaksikan suspek diarahkan menjalani rawatan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah dan Gambang, Pahang.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan pasangan warga emas berkenaan membuat laporan polis dalam keadaan sebak dengan harapan cucu lelaki mereka dapat berubah dan keluar daripada kancah dadah.