Raja Jordan Raja Abdullah II berangkat ke Malaysia pada Ahad

Raja Kerajaan Hasyimiyah Jordan, Seri Paduka Baginda Raja Abdullah II ibn Al Hussein / Foto Kerajaan Hasyimiyah Jordan

KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Raja Kerajaan Hasyimiyah Jordan, Raja Abdullah II ibn Al Hussein akan berangkat ke Malaysia untuk lawatan negara selama dua hari bermula Ahad atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Abdullah II akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara, menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menghadap Perdana Menteri.
  • Hubungan pendidikan kukuh: 1,636 pelajar Malaysia di Jordan dan 1,490 pelajar Jordan di Malaysia, serta kerjasama akademik dan penyelidikan.
  • Malaysia dan Jordan berkongsi komitmen terhadap keamanan, keadilan dan hak Palestin, sambil perdagangan dua hala terus berkembang.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan bahawa ini merupakan lawatan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia sejak Mei 2008 selain, berlangsung ketika Malaysia dan Jordan meraikan lebih enam dekad hubungan diplomatik yang mula dijalinkan pada tahun 1965.

“Semasa lawatan tersebut, Raja Abdullah II akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, diikuti dengan Majlis Menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong.

“Baginda juga akan diraikan dalam satu Majlis Jamuan Negara dan dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra turut memaklumkan Malaysia dan Jordan berkongsi hubungan yang rapat yang telah lama terjalin, terutamanya dalam bidang pendidikan.

“Buat masa ini, seramai 1,636 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi di Jordan dan seramai 1,490 pelajar Jordan sedang melanjutkan pelajaran di Malaysia.

“Kedua-dua negara terus menggalakkan kerjasama pendidikan, kolaborasi akademik dan perkongsian kepakaran, di samping memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan saintifik,” menurut Wisma Putra.

Selain hubungan antara rakyat yang telah lama terjalin ini, Malaysia dan Jordan turut berkongsi komitmen yang sama untuk memelihara keamanan, keadilan serta untuk memastikan kestabilan yang berkekalan di rantau Asia Barat, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak sah rakyat Palestin.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Jordan mencecah RM993.4 juta pada tahun 2025, satu peningkatan sebanyak 15.2 peratus berbanding tahun 2024, dan terus berkembang sebanyak 8.0 peratus lagi kepada RM740.7 juta dari bulan Januari hingga Ogos 2026, berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.