fb fb fb fb fb

Pusingan U Bertingkat, Direct U-Turn kurangkan kesesakan 50 peratus

Datuk Hameed Myteen Kunju Basheer

MELAKA, 24 Oktober- Pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Cheng Perdana bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas sehingga 50 peratus.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Myteen Kunju Basheer berkata, lampu isyarat juga tidak akan digunakan demi melancarkan aliran jalan raya.

"Dengan kewujudan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn ia akan mengurangkan kesesakan. Namun ia bergantung kepada jumlah kenderaan pada masa tertentu.

"Jadi dengan ketiadaan lampu isyarat, maka tiada lagi tempat berhenti di kawasan tersebut. Kenderaan boleh meneruskan perjalanan atau melakukan pusingan U," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu segmen Apa Khabau YB di konti Melakafm.

Dalam pada itu, Hameed turut berterima kasih kepada kerajaan pusat yang turut melibatkan pembangunan infrastruktur negeri Melaka dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Dalam perkembangan lain Kerajaan Negeri Melaka juga memohon peruntukan RM9 juta untuk tujuan penyelenggaraan lampu jalan di negeri itu bagi tahun 2025.

Hameed berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk penyelenggaraan di Lebuhraya Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) dan Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).

Selain itu, kerajaan negeri juga sedang mengkaji keadaan pencahayaan di jalan negeri yang menghubungkan pintu masuk di Negeri Sembilan dan Johor.

"Kita memberi tumpuan kepada Lebuhraya AMJ dan Lebuhraya SPA terutama selepas zon Ayer Keroh dan Lebuhraya AMJ di kawasan sebelah Kandang membawa ke selatan.

"Saya lihat tiada masalah dari segi pencahayaan Lebuhraya SPA dan Lebuhraya AMJ. Jadi kita juga beri tumpuan daripada jalan-jalan persekutuan di luar bandar," katanya.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan tahun lalu, kerajaan negeri menerima RM3.8 juta peruntukan penyelenggaraan jalan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI