fb fb fb fb fb

Pusat pemeriksaan JKDM di Forest City dilengkapi teknologi bertaraf antarabangsa, pertama di Malaysia

FOTO RTM

ISKANDAR PUTERI, 10 November- Pusat pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang baharu di Forest City, Iskandar Puteri, Johor dilengkapi dengan teknologi moden bertaraf antarabangsa, seiring keperluan kawasan berkenaan sebagai zon bebas cukai.

Fasiliti berkenaan merupakan yang pertama di negara ini, yang lengkap dengan mesin pengimbas canggih, memastikan operasi pemeriksaan serta penguatkuasaan anggota, diperkemas.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelancaran fasiliti itu juga bertujuan menjamin kelancaran perniagaan dan pergerakan di Forest City, yang merupakan sebahagian dalam inisiatif Zon Kewangan Khas (SFZ).

Selain bagi menghadapi cabaran pertumbuhan sektor pengangkutan yang dijangka pesat, susulan pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Hal ini berselari dengan inspirasi dan aspirasi tuanku yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor untuk melihat kepada teknologi dalam penguatkuasaan. Hasil dalam usaha menjadi negeri moden.

"Ini salah satu daripada initiatif yang dilakukan, kita akan teruskan untuk Forest City dan tempat-tempat lain," katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, usaha tersebut menjadi projek rintis bagi menoktahkan jenayah penyeludupan dan penyelewengan.

Jelasnya, pendekatan itu diharapkan dapat meningkatkan keselamatan dan integriti sistem pengawasan serta memastikan aliran perdagangan yang lebih lancar dan teratur di negara ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Majlis Pelancaran Pusat Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang baharu di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE