KUCHING, 9 Ogos – Pusat kanser yang bakal dibina di Sarawak dicadang mempunyai sekurang-kurangnya 310 katil bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit dalam jangka panjang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, jumlah itu lebih tinggi berbanding cadangan awal sebanyak 200 katil, selaras dengan saranan pakar perubatan dan pegawai kesihatan yang terlibat dalam perancangan projek berkenaan.
“Saya sudah nyatakan dalam mesyuarat April lalu bahawa 200 katil tidak mencukupi. Cadangan pakar adalah 310 katil, dan saya menyokong penuh,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Menurut Dr Sim, projek pembinaan hospital kanser itu kini akan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selepas perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) yang telah menyelesaikan semua keperluan teknikal dan kelengkapan.
Beliau memaklumkan akan menghadiri mesyuarat di Putrajaya Isnin ini, dipengerusikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, manakala keputusan akhir dijangka dimuktamadkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Jawatankuasa Perundingan Malaysia-Sarawak (MA63) pada 12 September di Kuching.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Sim berkata isu kekurangan pegawai perubatan (MO) dan jururawat di Sarawak masih berlarutan walaupun pelan jangka panjang telah dirangka oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Katanya, kerajaan negeri telah menyerahkan senarai 850 jururawat asal Sarawak yang kini bertugas di Semenanjung untuk dipindahkan pulang, namun selepas enam bulan hanya enam orang berjaya ditempatkan semula.
Beliau mahu isu penempatan petugas kesihatan ini turut dibincangkan dalam rundingan autonomi kesihatan negeri di bawah MA63 bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan rakyat Sarawak dapat dipenuhi secara menyeluruh.