fb fb fb fb fb

Puluhan ikan hiasan bernilai RM2,000 dirampas MAQIS Johor

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

JOHOR BAHRU, 23 Disember-Sebanyak 90 ekor ikan hiasan pelbagai jenis dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia semalam di laluan kereta Kompleks Sultan Abu Bakar (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor.

Pengarah MAQIS Johor, Edie Putra Md Yusof berkata kesemua rampasan bernilai RM2,000 yang disorok di bahagian belakang kereta itu cuba diseludup masuk dari Singapura.

"Kami berjaya merampas lima kotak berisi ikan jenis Bichir, Pleco, Corydoras dan Denison Barb.

"Pemandu kereta, seorang lelaki tempatan lingkungan 30-an ditahan bagi diambil keterangan sebelum dilepaskan," kata Edie Putra menerusi kenyataan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM