
TEHRAN, 25 Julai – Tentera Iran mendakwa melancarkan serangan yang menyasarkan aset tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain, Jordan dan Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu Washington ke atas republik Islam itu.
- Pengawal Revolusi dakwa menyasarkan pusat data Amazon di Bahrain; Amazon dan pihak berkuasa Bahrain belum mengulas.
- Bahrain memaklumkan memintas dan memusnahkan serangan; Jordan pula berkata berjaya memintas tujuh peluru berpandu dan enam dron tanpa korban.
- Ketua Markas Ali Abdollahi mengugut anggota tentera AS, berkata setiap anggota Amerika akan dihantar 'ke neraka' sebagai balasan.
Pada masa sama, Pengawal Revolusi Iran mendakwa mereka turut menyasarkan sebuah pusat data milik Amazon di Bahrain, menurut media kerajaan.
Bagaimanapun, syarikat teknologi gergasi AS itu mahupun pihak berkuasa Bahrain belum mengulas dakwaan berkenaan.
Setakat ini, tiada pengesahan daripada pihak AS bahawa kemudahan atau anggota tenteranya menjadi sasaran.
“Dalam operasi pagi ini, tangki bahan api, gudang peralatan berskala besar, silo serta berek tentera AS di Pangkalan Udara Isa di Bahrain disasarkan menggunakan dron Arash,” menurut kenyataan tentera Iran yang disiarkan televisyen negara.
Seorang wartawan AFP di Bahrain melaporkan berlaku satu letupan dan siren amaran dibunyikan pada Jumaat, namun tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua insiden itu mempunyai kaitan.
Bahrain kemudian memaklumkan pihaknya berjaya memintas dan memusnahkan beberapa serangan udara Iran, sambil menuduh Tehran menyasarkan orang awam.
Tentera Iran turut mendakwa melancarkan serangan dron ke atas Jordan dengan menyasarkan hangar pesawat, hangar penyelenggaraan penerbangan dan sebuah berek di Pangkalan Al-Azraq.
Tentera Jordan pula memaklumkan mereka berjaya memintas tujuh peluru berpandu dan enam dron yang dilancarkan Iran pada Jumaat, sambil menegaskan operasi itu tidak mengakibatkan sebarang kematian atau kerosakan harta benda.
Dalam kenyataan berasingan, tentera Iran berkata mereka turut melancarkan serangan dron ke atas gudang peralatan tentera AS di Kem Udairi serta lokasi penempatan anggota tentera Amerika di Kem Doha dan Kem Arifjan di Kuwait.
Pengawal Revolusi Iran turut mendakwa menyerang Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, dengan mendakwa berjaya memusnahkan sebuah depot peluru dan menyebabkan korban dalam kalangan anggota tentera AS.
Mereka juga mendakwa menyerang silo penyimpanan peralatan di Kem Udairi di Kuwait selain sebuah menara pemantauan Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain.
Tehran menegaskan bahawa mana-mana kemudahan atau pangkalan di Asia Barat yang digunakan tentera AS untuk melancarkan serangan ke atas Iran dianggap sebagai sasaran yang sah untuk tindakan balas.
Ketua Markas Pemerintahan Tentera Pusat Khatam al-Anbiya, Ali Abdollahi turut mengeluarkan ancaman terhadap anggota tentera AS di rantau itu dengan menegaskan bahawa Iran telah “menyediakan tiket sehala percuma ke neraka untuk kamu.”
“Bagi setiap rakyat Republik Islam Iran yang gugur sebagai syahid, seorang anggota tentera Amerika akan dihantar ke neraka,” katanya seperti dipetik oleh penyiar rasmi negara. – AFP