Peru, Venezuela pulihkan semula hubungan diplomatik

Foto hiasan

LIMA, 25 Julai – Peru dan Venezuela akan menyambung semula hubungan diplomatik selepas memutuskannya susulan kemenangan bekas pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro pada pilihan raya 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua kementerian luar mengumumkan pemulihan hubungan diplomatik secara berperingkat.
  • Caracas memutuskan hubungan dua hala pada Julai selepas Lima mengiktiraf pemimpin pembangkang sebagai pemenang pilihan raya.
  • Pada Januari, Maduro dilaporkan diculik oleh tentera Amerika Syarikat dan digantikan oleh presiden sementara Delcy Rodriguez.
  • Peru menempatkan lebih 1.6 juta rakyat Venezuela, kedua tertinggi selepas Colombia.

Perkembangan itu diumumkan kedua-dua kementerian luar negara pada Jumaat.

Caracas memutuskan hubungan dua hala pada Julai tahun itu selepas Lima mengiktiraf pemimpin pembangkang Venezuela sebagai pemenang pilihan raya, bukannya Maduro yang ketika itu merupakan penyandang jawatan, walaupun pihak berkuasa pilihan raya mengisytiharkan beliau sebagai pemenang.

Bagaimanapun, pada Januari tahun ini, Maduro diculik oleh tentera Amerika Syarikat sebelum digantikan oleh presiden sementara yang juga sekutu Washington, Delcy Rodriguez.

Kedua-dua kementerian luar memaklumkan bahawa hubungan diplomatik antara Peru dengan Venezuela akan dipulihkan secara berperingkat.

“Kerajaan Republik Peru dan Kerajaan Republik Bolivaria Venezuela dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kedua-dua pihak telah memutuskan untuk memulakan proses secara berperingkat ke arah pemulihan penuh hubungan dua hala,” menurut kenyataan bersama.

“Venezuela perlu menjalinkan hubungan antarabangsa menerusi diplomasi Bolivaria demi keamanan,” kata Rodriguez pada Jumaat ketika menghadiri satu majlis ketenteraan.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum presiden baharu Peru yang berhaluan konservatif, Keiko Fujimori, mengangkat sumpah jawatan pada 28 Julai.

Selepas Colombia, Peru merupakan negara yang menerima jumlah migran Venezuela paling ramai, dengan lebih 1.6 juta rakyat Venezuela kini menetap di negara Andes itu. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.