PUTRAJAYA, 22 September - Pulangan hasil daripada penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan akan disalurkan semula kepada rakyat melalui penambahbaikan infrastruktur dan kerja-kerja membaik pulih kerosakan akibat banjir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil daripada penyasaran subsidi diesel sebelum ini juga membolehkan kerajaan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 kepada rakyat Malaysia, walaupun melibatkan implikasi kewangan melebihi RM2 bilion.
Menurut beliau, langkah menaikkan sedikit harga subsidi bagi bukan warganegara tetapi menurunkan untuk rakyat Malaysia membolehkan pulangan hasil negara dikembalikan terus kepada rakyat.
Beliau turut menekankan contoh kerosakan akibat banjir di Sabah, di mana beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, telah meninjau kerosakan serius, termasuk di Institut Pendidikan Guru Kota Kinabalu, cerun jalan, klinik dan sekolah yang memerlukan pembaikan segera.
“Cerun jalan, klinik dan sekolah semua harus diperbaiki. Jadi, ada beban baharu yang kita perlu manfaatkan daripada dana ini untuk bantu rakyat terjejas,” katanya.
“Tumpuan kita masih dalam bidang pendidikan, kesihatan dan prasarana asas,” tambah beliau ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan September 2025 Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.