
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Tiada kuota ditetapkan bagi kelulusan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG), sebaliknya calon dinilai berdasarkan merit dengan markah lulus minimum 40 bagi setiap mata pelajaran.
- Kadar lulus yang dilaporkan hanya melibatkan peperiksaan utama PSAG 2026, belum termasuk keputusan peperiksaan tambahan 21 Oktober.
- Keputusan keseluruhan PSAG 2026 akan diumumkan pada November selepas keputusan tambahan diluluskan oleh lembaga berkenaan.
- Majoriti calon gagal ialah graduan luar negara yang mempelajari Common Law dan perlu menyesuaikan penguasaan kepada undang-undang Malaysia.
- Faktor kegagalan termasuk persediaan tidak menyeluruh, kelemahan mengenal isu serta pengemukaan peruntukan undang-undang dan kes berkaitan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, kadar kelulusan yang dilaporkan baru-baru ini hanya membabitkan peperiksaan utama PSAG 2026 dan belum mengambil kira keputusan peperiksaan tambahan yang dijadualkan pada 21 Oktober ini.
Beliau berkata, keputusan keseluruhan PSAG 2026 hanya akan diumumkan pada November selepas keputusan peperiksaan tambahan diperoleh dan diluluskan oleh lembaga berkenaan.
“Secara umumnya sebab-sebab kegagalan calon PSAG adalah majoriti calon yang menduduki peperiksaan itu merupakan graduan luar negara yang mempelajari ‘Common Law’ atau undang-undang di negara, seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand.
“Apabila kembali ke Malaysia, mereka perlu menduduki PSAG yang merupakan peperiksaan profesional mengenai undang-undang di negara ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batu Gajah, Dr Sivakumar Varatharaju Naidu berhubung penurunan peratusan calon yang lulus PSAG setiap tahun, di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, antara faktor kegagalan calon ialah persediaan yang kurang menyeluruh terhadap undang-undang Malaysia, selain kelemahan mengenal pasti isu dalam soalan serta mengemukakan peruntukan undang-undang dan kes berkaitan.
PSAG merupakan peperiksaan profesional yang berbeza daripada peperiksaan ijazah undang-undang kerana calon, khususnya graduan luar negara perlu menguasai undang-undang yang terpakai di Malaysia sebelum layak menjalankan amalan guaman.