
KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Usaha menggalakkan penyertaan penderma darah kali pertama menjadi antara fokus program derma darah anjuran DRB-HICOM Berhad di pekarangan bangunan MediaCity, Angkasapuri, RTM, hari ini.
- Liputan media membantu kurangkan kebimbangan orang ramai dengan menerangkan proses pendaftaran hingga pendermaan darah.
- Penganjur menjangka penyertaan penderma kali pertama meningkat berikutan sambutan penganjuran tahun lalu.
- Program menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penderma dan mungkin diteruskan secara berkala jika sambutan menggalakkan.
- Kempen merupakan inisiatif CSR bagi menyokong Pusat Darah Negara mengekalkan bekalan darah negara.
Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM Berhad, Cairil Irwan Amir berkata liputan media dapat membantu mengurangkan kebimbangan orang ramai yang belum pernah menderma darah dengan memberi gambaran mengenai proses berkenaan.
“Apabila orang ramai tidak mengetahui proses pendermaan darah, mereka cenderung berasa takut. Namun, melalui liputan media, mereka dapat memahami proses berkenaan dengan lebih jelas, bermula daripada pendaftaran hingga pendermaan darah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan penyertaan penderma kali pertama meningkat tahun ini susulan sambutan menggalakkan pada penganjuran tahun lalu.
Program itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100 penderma dan berpotensi diteruskan secara berkala sekiranya menerima sambutan menggalakkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Property Group DRB (Media City), Khairuddin Othman berkata penyertaan warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam kempen berkenaan diharap dapat membantu menambah bekalan darah negara menjelang musim perayaan.
“Harapan saya agar lebih ramai tampil menderma darah bagi membantu menambah bekalan darah negara, terutama menjelang perayaan Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya,” katanya.
Kempen itu merupakan antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat DRB-HICOM bagi menyokong Pusat Darah Negara (PDN) dalam usaha mengekalkan bekalan darah negara.
Program berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.