fb fb fb fb fb

PRU15: 4,326 borang pencalonan telah dijual

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 5 November- Gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka secara rasmi hari ini selepas proses penamaan calon berlangsung selama sejam bermula pukul 9.00 pagi.

222 pusat penamaan calon dibuka termasuk melibatkan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, 42 kerusi DUN Pahang, dan 15 kerusi DUN Perlis.

Turut diadakan serentak penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Statistik SPR menunjukkan, setakat semalam 4,326 borang pencalonan telah dijual.

3,036 adalah borang penamaan calon kerusi Parlimen manakala 1,290 lagi bagi DUN.

Di peringkat Parlimen, Sabah mencatat penjualan borang tertinggi iaitu 716, diikuti Perak (326) dan Selangor (266).

Di peringkat DUN pula, jualan borang terbanyak adalah di Perak disusuli Pahang dan Perlis.

Seramai 21.17 juta pemilih akan menunaikan tanggungjawab mereka mengundi pada 19 November nanti; manakala pengundian awal pada 15 November.

(Keadaan di sebuah pusat penamaan calon)

Dalam pada itu, semua parti politik dinasihatkan mematuhi peraturan terkini yang ditetapkan oleh pihak berkuasa semasa hadir ke pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negara.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata "parti politik terutama pencadang dan penyokong yang berarak, perlu mematuhi peraturan supaya proses penamaan calon berjalan lancar."

Antara perkara yang tidak dibenarkan ialah penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik.

Hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke PPC.

Orang awam serta penyokong yang mengiringi calon, dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

Media Baharu