Prosiding tatatertib mahasiswa berkaitan kebebasan bersuara dihentikan serta-merta

Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Semua prosiding tatatertib terhadap mahasiswa berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman di universiti awam dihentikan serta-merta.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPT umum langkah segera untuk memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan sementara rangka perundangan baharu disediakan.
  • Beberapa peruntukan AUKU dan Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan dikenalpasti untuk dikecualikan.
  • Perlindungan kebebasan tidak menghalang tindakan terhadap keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah atau salah laku akademik.
  • UIAM dan UiTM akan diteliti peruntukan masing-masing supaya selaras dengan pembaharuan; Perdana Menteri menggesa pelaksanaan segera.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, arahan itu sebahagian langkah segera memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa sementara kerajaan membangunkan kerangka perundangan baharu susulan keputusan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

“Beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa sudah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian,” menurut KPT.

Ia meliputi pengurusan persatuan dan kelab, pengurusan aktiviti pelajar, kebebasan bersuara dan berhimpun, penggunaan platform komunikasi serta pengedaran dan penerbitan dokumen.

Bagaimanapun, kebebasan itu tidak bermakna mahasiswa terlepas daripada tindakan bagi kesalahan lain.

“Perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah tetap tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak tertakluk kepada AUKU, penelitian sama akan dilaksanakan terhadap peruntukan masing-masing berkaitan mahasiswa.

Menurut KPT, langkah itu bagi memastikan kedua-dua institusi berkenaan turut selaras dengan pembaharuan yang dilaksanakan bawah AUKU.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan bahawa langkah yang boleh memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan segera tanpa menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu selesai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.