
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Pelepasan tenaga akibat pergerakan atau pengaktifan semula struktur sesar tempatan dikenal pasti antara kemungkinan yang mencetuskan gempa bumi lemah di Temenggor, Gerik, Perak, awal pagi Jumaat.
- Gempa bermagnitud 3.4 berlaku pada 12.06 tengah malam, dikesan pada kedalaman kira-kira 10 kilometer, dirasai di sekitar Perak.
- Kawasan Temenggor turut merekodkan kejadian gempa bumi tempatan pada 2013 dan 2016.
- Kemungkinan gegaran susulan yang lemah tidak boleh diketepikan.
- Orang ramai dinasihatkan jangan panik, sentiasa berwaspada dan dapatkan maklumat melalui saluran rasmi METMalaysia; agensi akan terus memantau.
Kawasan berkenaan juga mempunyai rekod kejadian gempa bumi, masing-masing pada 2013 dan 2016.
Menurut Timbalan Pengarah Kanan, Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ramlan Ab. Rahman, gempa bermagnitud 3.4 yang berlaku pada 12.06 tengah malam itu dikesan pada kedalaman kira-kira 10 kilometer dengan gegaran dilaporkan dirasai di sekitar Perak.
“Kejadian ini berkemungkinan berkaitan dengan pelepasan tenaga akibat pergerakan atau pengaktifan semula struktur garis sesar tempatan.
“Kawasan Temenggor juga pernah merekodkan kejadian gempa bumi tempatan sebelum ini pada tahun 2013 dan 2016. Kemungkinan berlakunya gegaran susulan yang lemah tidak boleh diketepikan, ” katanya kepada RTM.
Orang ramai bagaimanapun tidak perlu panik dan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi MET Malaysia.
Ramlan menambah, MET Malaysia akan terus memantau aktiviti seismik di kawasan berkenaan dan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.