fb fb fb fb fb

Projek Khas Naik Taraf Tandas Sekolah di Johor, Batu Pahat terima peruntukan tertinggi

FOTO BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 29 November- Batu Pahat menerima peruntukan tertinggi Projek Khas Naik Taraf Tandas Sekolah di Johor, iaitu RM9.52 juta melibatkan 136 buah sekolah.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norliza Mohd Noh berkata, peruntukan disalurkan selepas Johor menerima RM65.66 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Johor Bahru menjadi daerah kedua menerima peruntukkan tertinggi, iaitu RM8.54 juta, melibatkan 122 sekolah, diikuti Pasir Gudang, Johor Bahru, iaitu RM6.79 juta, melibatkan 97 buah sekolah.

Pelaksanaan projek khas tersebut dilakukan menerusi dua agensi berlainan, iaitu Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Kementerian Pendidikan Malaysia, menguruskan 475 buah sekolah dengan peruntukan RM33.25 juta.

Manakala agensi kedua, Pejabat Pembangunan Negeri Johor dan Pejabat Daerah, menguruskan 463 buah sekolah, dengan peruntukan RM32.41 juta.

"Lebih 500,000 pelajar dan hampir 50,000 guru di negeri Johor. Memandangkan penyaluran peruntukan dengan jumlah yang sangat banyak dengan melibatkan 938 buah sekolah, sudah tentu Kerajaan Persekutuan memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri untuk sama-sama terlibat di dalam projek khas ini demi mencapai objektif pelaksanaan,"katanya.

Norliza turut memberitahu, pegawai teknikal Pejabat Daerah sedang dalam fasa terakhir, untuk memastikan pembayaran projek khas itu dapat dilaksanakan pada tahun semasa.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Keempat ( Belanjawan 2024 ) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-15.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE