fb fb fb fb fb

Program Bulan Kebangsaan capai 91 peratus keberkesanan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/RTM

KUALA LUMPUR, 6 November- Semua program yang dianjurkan sepanjang bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia berjaya meningkatkan kesedaran kenegaraan serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibuktikan melalui kajian Jabatan Penerangan (JAPEN) yang melibatkan 5,044 responden daripada pelbagai latar belakang kaum dan umur.

"Hasil dapatan kajian mendapati keberkesanan program kenegeraan dan patriotik berada pada tahap tinggi iaitu 91 peratus bersamaan dengan min 4.55 pada skala likert.

"Dapatan ini selari dengan matlamat memperkukuh jati diri rakyat Malaysia," katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berhubung keberkesanan program yang dianjur sepanjang bulan Kebangsaan di Dewan Rakyat.

Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya mencatatkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa rakyat terhadap acara tersebut.

Katanya, penganjuran program sempena bulan Kebangsaan di seluruh negara akan terus dipergiat sebagai wahana perpaduan nasional, menerusi pendekatan komunikasi bersepadu dan penglibatan rakyat secara menyeluruh.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD