SEPANG, 26 April - Institusi pendidikan tidak sepatutnya mengundang cendekiawan yang sederhana untuk dibawa masuk, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen seorang ahli akademik Amerika, Bruce Gilley di platform sosial X yang mendakwa dia meninggalkan Malaysia kerana bimbangkan keselamatannya.
"Sejak mula lagi cendekiawan yang biasa-biasa sahaja (mediocre) tidak seharusnya dibawa masuk sebagai profesor pelawat," katanya.
Anwar ditemui pemberita selepas melawat Akademi MAB dan majlis pecah tanah Bangunan Simulator Penerbangan, di sini.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sekatan terhadap penceramah asing pro-Zionis perlu dilihat dari aspek keselamatan dan imej negara yang boleh terjejas akibat kenyataan mereka.
Zambry menegaskan dakwaan sekatan itu menyekat kebebasan akademik tidak seharusnya ditimbulkan.
Pihak terbabit juga katanya harus menyelidik latar belakang inidivu tersebut termasuk penulisannya.
Beliau turut menyifatkan dakwaan Gilley bahawa Malaysia bukan negara selamat untuk dikunjungi sebagai kenyataan yang amat berbahaya.
“Sekarang pun kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia tidak selesa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau, sebagai contoh hari ini kedutaan US (Amerika Syarikat) menegaskan semula bahawa Malaysia masih selamat untuk dikunjungi," katanya.