Presiden Perancis berlepas pulang, akhiri lawatan rasmi

Foto BERNAMA

SEPANG, 17 November – Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan isterinya, Brigitte Macron, berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Digital Gobind Singh Deo hadir sebagai menteri pengiring dan mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Perancis.
  • Istiadat Kawalan Kehormatan Setempat melibatkan dua pegawai dan 26 anggota LLP, diketuai Kapten Luqman Hakim Abd Khar.
  • Pertukaran beberapa MoU melibatkan pertahanan, teknologi, peralihan tenaga dan mineral kritikal; perbincangan peranan Malaysia sebagai pangkalan strategik ASEAN.

Pasangan itu bersama delegasi Perancis berlepas menaiki pesawat khas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada pukul 6.05 petang.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, yang bertindak sebagai menteri pengiring sepanjang lawatan berkenaan, hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Perancis itu.

Keberangkatan pulang beliau turut disusuli istiadat Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) yang melibatkan dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat (LLP), diketuai Kapten Luqman Hakim Abd Khar dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD).

Terdahulu, Macron diberikan sambutan rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Seri Anwar bagi membincangkan pelbagai bidang kerjasama strategik antara Malaysia dengan Perancis.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan sektor pertahanan, teknologi, peralihan tenaga dan mineral kritikal.

Selain itu, potensi Malaysia sebagai pangkalan strategik bagi rantau ASEAN turut dibincangkan dalam usaha memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.

Selepas sidang media dan jamuan makan tengah hari, kedua-dua pemimpin turut meluangkan masa berkunjung ke sekitar Pasar Seni dan Petaling Street di Kuala Lumpur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.