
KUALA LUMPUR, 17 November – Kerjasama strategik Malaysia-Perancis dalam pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) berpotensi memperkukuh sektor mineral negara.
- Ketelusan perjanjian supaya rakyat faham apa diberi dan diperoleh negara.
- Peraturan alam sekitar ketat, pemantauan dan pengurusan sisa yang sewajarnya perlu dilaksanakan.
- Utamakan pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan dan pembangunan industri hiliran.
- Pengurusan sumber secara mampan demi generasi akan datang, bukan keuntungan jangka pendek, kepentingan negara diutamakan.
Bagaimanapun, ketelusan perjanjian, perlindungan alam sekitar dan kepentingan tenaga kerja tempatan perlu diberi keutamaan bagi memastikan manfaat pelaburan dapat dinikmati negara dalam jangka panjang.
Pensyarah Kanan Jabatan Geologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Syed Muhammad Ibad Mahmoodi berkata, kerjasama itu berpotensi meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, menggalakkan pemindahan teknologi serta membuka peluang kepada pembangunan industri hiliran.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan kerjasama perlu berlandaskan prinsip ketelusan dan pengurusan sumber secara mampan agar kepentingan negara serta kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
“Pertama, ketelusan. Rakyat perlu memahami apa yang Malaysia berikan dan apa yang diperoleh negara. Kedua, peraturan alam sekitar yang ketat, dengan pemantauan serta pengurusan sisa yang sewajarnya. Ketiga, pengurusan sumber secara mampan demi generasi akan datang, bukan sekadar keuntungan jangka pendek,” katanya.
Justeru, kerjasama berkenaan bukan sekadar berorientasikan kemasukan pelaburan, sebaliknya perlu memastikan kekayaan sumber mineral negara dimanfaatkan secara bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.