KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang melihat cadangan untuk memasang pintu atau penghadang antara platform dan rel bagi menjamin keselamatan orang kurang upaya (OKU).
Jelas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, stesen rel terdahulu terutamanya stesen LRT direka bentuk tanpa penghadang fizikal di antara platform dan tren namun ia berbeza dengan kemudahan terkini seperti stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang dilengkapi sistem keselamatan sepenuhnya.
"Ada kes-kes yang ada OKU tidak sengaja jatuh antara jurang. Kita kenal pasti ini ialah reka bentuk stesen-stesen lama terutama di stesen-stesen LRT tiada pintu antara platform dengan kereta api.
"Untuk melaksanakan ini ia memerlukan perbelanjaan yang cukup besar kerana kita perlu reka bentuk semula kesemua stesen-stesen rel ini dan juga memerlukan peruntukan dan masa yang panjang.
"Walaupon 100 peratus dapat menutup keseluruhan jurang tersebut tapi kita cuba meminimumkan supaya ada satu penghadang antara platform dengan rel," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin berkenaan kelemahan utama yang dikenal pasti selepas tragedi seorang lelaki OKU penglihatan maut akibat terjatuh dan digilis tren di Stesen LRT Wangsa Maju pada Februari lalu selain mahu penjelasan berhubung penambahbaikan menyeluruh terhadap kemudahan OKU.