PUTRAJAYA, 19 Februari-Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempercepatkan pelaksanaan Polisi 'Zero Potholes' dengan tempoh tindakan dikurangkan daripada 24 jam kepada hanya 12 jam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata cabaran itu dikemukakan kepada agensi berkaitan untuk mempercepatkan proses pembaikan jalan berlubang dengan menggunakan teknologi terkini.
"Insya-Allah, kita akan cuba usahakan untuk mempercepatkan usaha ini daripada 24 jam kepada 12 jam. Saya rasa ini boleh dilaksanakan dengan teknologi yang kita ada.
"Aduan dapat disampaikan dengan segera kepada pihak berkuasa, dan insya-Allah tindakan boleh dilakukan dengan lebih pantas," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Aspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) 2025 di sini hari ini.
Dr. Zaliha turut menyifatkan inisiatif ini sebagai satu bentuk reformasi dalam perkhidmatan kerajaan bagi meningkatkan kecekapan agensi berkaitan dalam menangani isu jalan berlubang.
Beliau turut memaklumkan bahawa orang ramai boleh membuat aduan berkaitan jalan berlubang menerusi aplikasi Aduan@KL dan KL Strike Force untuk tindakan segera pihak berkuasa.