KUALA LUMPUR, 4 Jun - Empat beranak termasuk seorang wanita melalui detik cemas selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Kapar Batu 6, Klang petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.10 petang, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara digerakkan ke lokasi kejadian.
"Sebuah kereta dinaiki sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun bersama dua orang anak, dan manakala sebuah lagi dipandu wanita berusia lingkungan 40-an.
"Kesemua mereka termasuk dua kanak masing-masing lelaki dan perempuan terselamat, dan telah keluar sendiri dari kenderaan sebelum pihak bomba tiba," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, pihak bomba sedang giat melakukan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok berkenaan.